Setelah Rasulullah SAW wafat, para sahabat kebanyakannya keluar dari kota Madinah untuk menyambung perjuangan Rasulullah. Bilal memilih Syam sebagai tempat menabur bakti. Di sana dia menyambung tugas dengan jayanya. Tidak lama kemudian dia kembali ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah SAW. Berita kepulangannya diperkatakan oleh penduduk Madinah.
''Bilal yang mengalunkan azan pada zaman Rasulullah hidup'' dahulu ada bersama di Madinah, alangkah lunak sekiranya kita boleh mendengarnya lagi'' Itulah antara permintaan sahabat dan penduduk Madinah kepada Bilal. ''Maafkan aku, Aku tidak boleh azan lagi'' Bilal menjawab, tegas tapi penuh berhemah. Sehingga berita ini sampai kepada Sayidatina Aisyah, Ummul Mukminin. Sayidatina Aisyah memanggil Bilal. Dari tabir Sayidatina Aisyah berkata ''Wahai Bilal, perdengarkanlah kepada kami azan seperti kami mendengar semasa Rasulullah masih hidup. Kami rindu mahu mendengar suaramu,, wahai Bilal'' Mendalam harapan dan rayuan Sayidatina Aisyah itu. Dengan berat hati, Bilal bersetuju.
Subuh keesokan harinya, Bilal berdiri di tempat biasa beliau melaungkan azan. Namun beliau hanya boleh menggahi azan sampai kepada ungkapan Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah. Bilal tidak lagi mampu melanjutkan seruan azannya. Suasana sepi, penduduk Madinah yang mendengar dengan khusyuk menunggu dan terus menunggu sambungan Azan daripada Bilal. Namun laungan azan mati di situ sahaja.
Penduduk Madinah bergegas ke masjid dalam keadaan hairan. Apabila masuk ke dalam masjid, alangkah terkejutnya mereka melihat Bilal terbaring di atas lantai masjid yang suci itu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka berusaha menyedarkannya. Setelah pulih daripada pengsan, dalam linangan air mata dan esakan tangisan, Bilal bersuara
''Bukankah aku telah beritahu kamu semua, aku tidak boleh azan lagi. Aku tidak mampu melaungkan kalimah Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah dalam azanku. Aku merasakan seperti Rasulullah sedang berada di belakangku seperti masa hayatnya untuk menjawab azanku itu. Aku sangat rindu kepada Rasulullah!''
Bilal tidak berupaya menyembunyikan rasa hatinya. Rindunya terdedah, perasaanya terngadah dan dia tidak mampu bertahan daripada perasaan kasih yang sangat dalam kepada Rasulullah SAW.
Demikianlah rindu Bilal yang disembunyikan selama ini, sebagai bukti betapa mendalamnya perasaab kasihnya kepada Rasulullah, kasih yang menunjukkan kesempurnaan iman para Sahabat.
Cuba tanya pada diri kita.
-Adakah kita benar benar bersyukur menjadi umat Rasulullah SAW?
-Di manakah kedudukan Rasulullah SAW di dalam lubuk hati?
-Adakah kita mengikuti sunnahnya?
-Adakah perasaan sayang dan kasih kepada Rasulullah SAW benar benar mendalam?
-Adakah kita ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW? Walaupun di dalam mimpi?
Tepuk Dada, Tanya Iman.
No comments:
Post a Comment